FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Keperluan golongan belia pada pasca pandemik perlu diperhalusi lebih mendalam berikutan perbezaan keperluan antara mereka yang tinggal di bandar dan luar bandar.

Presiden Pertubuhan Belia Gerak Niaga (PBGN) Datuk Khairul Adzha Anwar berkata, ia juga bagi membolehkan negara mempunyai pelapis dalam kalangan belia yang berinovasi dan berwawasan tinggi.

Bagaimanapun, katanya, beliau menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan yang ditunjukkan untuk membantu golongan belia menerusi Bajet 2022 yang diumumkan kelmarin.

"Namun keperluan golongan belia pasca pandemik haruslah diperhalusi secara mendalam kerana impak ekonomi bagi golongan belia di bandar adalah berlainan daripada belia di luar bandar.

"Bagi saya, tiba masanya pihak Jabatan Perdana Menteri memberi ruang lebih banyak untuk golongan belia terbabit dalam menyediakan polisi serta program bantuan yang bersesuaian, termasuklah pakej pemerkasaan golongan belia.

"Perlu diingat bahawa dalam tempoh 15 hingga 20 tahun dari sekarang, golongan belia inilah yang akan memimpin negara," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kerajaan banyak membantu belia dan menyedia program menyokong golongan itu namun, impaknya belum betul-betul kelihatan.

Oleh itu, Khairul Adzha berpendapat sekiranya terdapat pembiayaan atau geran pembangunan yang sesuai untuk belia, ia perlu diuar-uarkan agar golongan itu tidak ketinggalan merebut peluang.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata, hampir semua belanjawan tahunan yang diumum kerajaan memberi manfaat secara langsung atau tidak langsung kepada belia termasuk Bajet 2022.

"Jika dilihat hampir 25 inisiatif di dalamnya membabitkan belia, sama ada secara langsung atau tidak, contohnya Bantuan Keluarga Malaysia untuk bujang bernilai RM350.

"Saya ingat mana-mana kerajaan pun tidak akan meminggirkan belia sebab mereka ada kuasa undi, selain membentuk 68 peratus tenaga kerja Malaysia dan jumlahnya hampir separuh penduduk Malaysia," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor semalam, menegaskan bahawa golongan belia tidak dipinggirkan dalam Bajet 2022, sebaliknya terdapat 25 inisiatif dalam belanjawan itu boleh dinikmati, sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Isu itu timbul apabila segelintir golongan belia memberi reaksi di media sosial dan mendakwa kerajaan 'meninggalkan' mereka dalam Bajet 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 8:52 PM