ISMAIL Sabri (tengah) menyerahkan replika cek bernilai RM 5,500,000 kepada Presiden Majlis Belia Malaysia Mohd Izzat Afifin (kanan) sebagai bantuan kepada belia sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan di Pekan Tuaran hari ini. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri (tengah) menyerahkan replika cek bernilai RM 5,500,000 kepada Presiden Majlis Belia Malaysia Mohd Izzat Afifin (kanan) sebagai bantuan kepada belia sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan di Pekan Tuaran hari ini. FOTO BERNAMA
Recqueal Raimi

Tuaran: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan belia bagi mengurangkan kadar pengangguran.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara inisiatif baharu dilaksanakan adalah Program Youth Career (Y-Career) dan Skill for Youth (S-4-Y) yang juga satu platform padanan kerja dan latihan intensif bersama pihak industri dengan jaminan pekerjaan kepada belia.

"Sempena Karnival Sambutan Hari Belia di Tuaran hari ini, lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program Y-Career.

"Manakala menerusi program S4Y pula, sebanyak 2,000 peluang latihan dan jaminan pekerjaan melibatkan peruntukan sebanyak RM3 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Belia Negara 2022 peringkat Kebangsaan di Padang Tuaran, di sini, hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Belia, Menteri Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Ahmad Faizal berkata, masa depan belia semakin mencabar akibat kesan pandemik Covid-19 seperti pengangguran, kebolehpasaran dan situasi kekurangan pekerja.

"Melalui Indeks Belia Malaysia 2021 bagi Domain Ekonomi dengan skor kebolehpekerjaan adalah 59.07 iaitu satu tahap yang tidak begitu memuaskan dan jelas impaknya dapat digambarkan.

"Justeru, KBS sentiasa mencari jalan terbaik mengatasi isu melibatkan pembangunan serta latihan kepakaran golongan belia dalam memberi penekanan terhadap inovasi berteraskan Revolusi Industri 4.0.

"Selain itu, kerjasama strategik turut diperkukuhkan bersama pihak industri dalam memastikan latihan TVET kepada belia memenuhi keperluan pasaran pekerjaan," katanya.

Katanya, kerajaan juga memperuntukkan lebih RM25.5 juta bagi memperkukuhkan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT bagi tempoh 2021 sehingga 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 2:14 PM