PELARIAN Rohingya yang melepasi sempadan Myanmar dua hari lalu berjalan ke kem pelarian selepas menerima kebendaran tentera Bangladesh di Palang Khali berhampiran Cox’s Bazaar, semalam.
PELARIAN Rohingya yang melepasi sempadan Myanmar dua hari lalu berjalan ke kem pelarian selepas menerima kebendaran tentera Bangladesh di Palang Khali berhampiran Cox’s Bazaar, semalam.
Muhd Izawan Baharin


PELAKSANAAN cadangan disyorkan laporan Suruhanjaya Penasihat Rakhine supaya aspek pembangunan ekonomi komuniti Rohingya ditingkatkan bagi menangani krisis kemanusiaan etnik itu hanya tercapai jika wujud kestabilan politik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sehubungan itu menyeru sokongan negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) menghulurkan bantuan sewajarnya.

“Saya memuji perlindungan diberikan kerajaan Bangladesh kepada pelarian Rohingya dan di pihak Malaysia, kita akan membina hospital medan di Cox’s Bazaar bagi menyediakan bantuan perubatan.

“Hospital ini dijangka siap dalam tempoh sebulan selepas lawatan saya pada 16 Oktober lalu,” katanya ketika menyampaikan ucapan mewakili kerajaan Malaysia di sidang kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Istanbul, Turki, hari ini.

Persidangan D-8 selama tiga hari yang dianggotai Malaysia, Turki, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Iran, Mesir dan Nigeria berakhir semalam.

Penutup sidang kemuncak itu disempurnakan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

AHMAD Zahid pada Sidang Kemuncak D-8. FOTO Bernama
AHMAD Zahid pada Sidang Kemuncak D-8. FOTO Bernama

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, industri pelancongan antara bidang yang perlu diberi penekanan bagi memperkukuhkan ekonomi negara anggota D-8.

“Malaysia berpandangan negara anggota D-8 sewajarnya memberi penekanan dan meningkatkan pelaburan dalam bidang ini.

“Kita perlu melabur lebih banyak kepada pembangunan infrastruktur dan meningkatkan rangkaian pelancongan kerana kesan gandaannya boleh memberi manfaat besar kepada anggota D-8,” katanya.

Menurutnya, kelebihan negara D-8 ialah kepelbagaian budaya, geografi dan tinggalan sejarah yang berpotensi besar menarik kehadiran pelancongan.

“Pada masa sama, kita perlu memperkukuhkan pembangunan sumber manusia dan promosi bagi menyokong industri ini bagi memastikan impak yang diharap tercapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 6:23 PM