Daripada Muhd Izawan Baharin di Istanbul dan Turki

NEGARA Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) diseru menyalurkan bantuan kepada Rohingya dalam apa cara yang mungkin bagi menangani situasi sosio-ekonomi etnik itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, laporan akhir Suruhanjaya Penasihat Rakhine antara lain menyatakan aspek pembangunan ekonomi dan sosial sebagai punca krisis.

“Kita percaya pelaksanaan cadangan dalam laporan itu akan memperbaiki keadaan sosio-ekonomi mereka.

“Walau bagaimanapun, pembangunan sosio-ekonomi hanya boleh dilaksanakan jika wujud kestabilan politik,” katanya dalam ucapan pada Sesi ke-17 Majlis Menteri-Menteri (D-8) di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara langkah menangani situasi sosio-ekonomi dihadapi etnik Rohingya ialah kerajaan Myanmar membenarkan akses bantuan kemanusiaan ke kawasan krisis.

“Dalam hal ini, Malaysia memuji Bangladesh kerana melindungi pelarian Rohingya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dijangka tiba malam ini untuk mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak D-8 esok.

D-8 ditubuhkan pada 15 Jun 1997 di Istanbul sebagai mekanisme kerjasama dalam sektor ekonomi lapan negara membangun.

Ia terdiri daripada Malaysia, Turki, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Iran, Mesir dan Nigeria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 8:00 PM