AHMAD Zahid  menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak D-8.
AHMAD Zahid menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak D-8.
Muhd Izawan Baharin

Istanbul, Turki: Pelaksanaan cadangan disyorkan laporan Suruhanjaya Penasihat Rakhine supaya aspek pembangunan ekonomi komuniti Rohingya ditingkatkan bagi menangani krisis kemanusiaan etnik itu hanya tercapai jika wujud kestabilan politik.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru sokongan negara anggota Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) menghulurkan bantuan sewajarnya.

“Saya memuji perlindungan diberikan kerajaan Bangladesh kepada pelarian Rohingya dan di pihak Malaysia, kita akan membina hospital medan di Cox’s Bazaar bagi menyediakan bantuan perubatan.

“Hospital ini dijangka siap dalam tempoh sebulan selepas lawatan saya pada 16 Oktober lalu,” katanya ketika menyampaikan ucapan mewakili kerajaan Malaysia pada sidang kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) di Istanbul, Turki, semalam.

Persidangan D-8 selama tiga hari yang dianggotai Malaysia, Turki, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Iran, Mesir dan Nigeria berakhir semalam.

Penutup sidang kemuncak itu disempurnakan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, industri pelancongan antara bidang yang perlu diberi penekanan bagi memperkukuhkan ekonomi negara anggota D-8.

“Malaysia berpandangan negara anggota D-8 sewajarnya memberi penekanan dan meningkatkan pelaburan dalam bidang ini.

“Kita perlu melabur lebih banyak kepada pembangunan infrastruktur dan meningkatkan rangkaian pelancongan kerana kesan gandaannya boleh memberi manfaat besar kepada anggota D-8,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 2:39 AM