Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama isteri Datin Seri Hamidah Khamis ketika bergambar bersama pelajar dan rakyat Malaysia di majlis makan malam bersama Diaspora Malaysia di Turki, malam tadi. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama isteri Datin Seri Hamidah Khamis ketika bergambar bersama pelajar dan rakyat Malaysia di majlis makan malam bersama Diaspora Malaysia di Turki, malam tadi. - Foto BERNAMA
Daripada Muhd Izawan Baharin di Turki


KAMPUS cawangan Universiti Ibn Haldun di Turki akan dibuka di Alor Setar, Kedah, menawarkan pengajian ketamadunan, teknikal dan kejuruteraan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, universiti itu akan mengambil alih Universiti Antarabangsa Al Bukhary (AIU) di Alor Setar bermula dengan pembentukan tiga jabatan yang mempunyai komposisi tenaga pengajar dari Turki, Malaysia dan beberapa negara Islam dikenalpasti.

“€œRektor akan dilantik tetapi pengajar dan pentadbiran sudah berada di universiti manakala pengambilan pelajar pula pada nisbah 80 peratus pelajar asing dan 20 peratus pelajar Malaysia.

“Perkara ini sudah diluluskan Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya katanya pada sidang media kepada wartawan Malaysia hari ini, bagi mengulas hasil lawatan kerja beliau sempena sidang kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) Kesembilan di Istanbul.

Beliau berkata, universiti itu dijangka dirasmikan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Januari depan.

Ahmad Zahid berkata, Turki juga memohon menubuhkan Yayasan Maarif yang akan mempromosikan kerjasama pendidikan antara dua negara.

Menurutnya, beberapa biasiswa akan ditawarkan pada pelajar Malaysia yang mahu menyambung pengajian di Turki dalam pelbagai bidang, terutama pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Turki juga akan bekerjasama dalam bidang kebudayaan menerusi Institut Yunus Emre bagi mempromosikan kebudayaan, kesenian dan ketamadunan kedua-dua negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 8:29 PM