Anifah  berucap   pada Sesi ke-17 Majlis Menteri-Menteri (D-8), semalam.
Anifah berucap pada Sesi ke-17 Majlis Menteri-Menteri (D-8), semalam.
HM Digital

Negara Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) diseru menyalurkan bantuan kepada Rohingya dalam apa cara yang mungkin bagi menangani situasi sosioekonomi etnik itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, laporan akhir Suruhanjaya Penasihat Rakhine antara lain menyatakan aspek pembangunan ekonomi dan sosial sebagai punca krisis.

“Kita percaya pelaksanaan cadangan dalam laporan itu akan memperbaiki keadaan sosioekonomi mereka.

“Walau bagaimanapun, pembangunan sosioekonomi hanya boleh dilaksanakan jika wujud kestabilan politik,” katanya dalam ucapan pada Sesi ke-17 Majlis Menteri-Menteri (D-8), semalam.

Beliau berkata, antara langkah menangani situasi sosioekonomi dihadapi etnik Rohingya ialah kerajaan Myanmar membenarkan akses bantuan kemanusiaan ke kawasan krisis.

“Dalam hal ini, Malaysia memuji Bangladesh kerana melindungi pelarian Rohingya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba malam semalam untuk mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak D-8 hari ini.

D-8 ditubuhkan pada 15 Jun 1997 di Istanbul sebagai mekanisme kerjasama dalam sektor ekonomi lapan negara membangun.

Ia terdiri daripada Malaysia, Turki, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Iran, Mesir dan Nigeria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 5:34 AM