Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Kelantan, Kota Bharu, hari ini. - Foto FARIS ZAINULDIN.
Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di IPK Kelantan, Kota Bharu, hari ini. - Foto FARIS ZAINULDIN.
Rosliza Mohamed


SEORANG buruh didapati menyembunyikan dadah disyaki jenis heroin bernilai RM430,000 dalam sangkar burung yang digantung di belakang rumahnya, di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang, Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, lelaki berusia 56 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, pada 6.30 petang.

Menurutnya, pemeriksaan menemui 22 bungkusan surat khabar mengandungi 215 botol kecil seberat 752.5 gram disyaki dadah jenis heroin.

"Suspek direman tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita percaya bekalan itu untuk pasaran negeri ini dan beberapa negeri lain yang berdekatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap suspek masih dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 7:27 PM