TUJUH lelaki ditahan polis di Kampung Temoyong Mukim Kedawang, Langkawi kerana menghisap dadah. (Gambar kecil) Dadah heroin ditemui dalam serbuan. FOTO IHSAN PDRM
TUJUH lelaki ditahan polis di Kampung Temoyong Mukim Kedawang, Langkawi kerana menghisap dadah. (Gambar kecil) Dadah heroin ditemui dalam serbuan. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


KETIKA umat Islam masih bergembira menyambut Aidilfitri, namun lain pula dengan seorang lelaki yang menjadikan kediamannya sebagai lokasi ‘menjamu’ enam rakannya menghisap dadah di Kampung Temoyong Mukim Kedawang, Langkawi.

Bagaimanapun, perbuatan mereka berusia 27 hingga 52 tahun mengundang padah apabila polis menyerbu kediaman itu jam 11.30 malam, kelmarin, sebelum menahan suspek serta merampas dadah jenis heroin.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kegiatan mereka bertindak ke rumah itu untuk melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, sebaik tiba, seorang lelaki berusia 52 tahun membuka pintu dan mengaku pemilik rumah sebelum pemeriksaan lanjut mendapati enam lelaki sedang duduk di lantai bersama satu plastik lutsinar disyaki heroin seberat 1.3 gram, tujuh keratan penyedut minuman disyaki heroin seberat 1.6 gram dan wang tunai RM940.

“Pemeriksaan terhadap salah seorang suspek turut menemui satu keratan penyedut minuman disyaki heroin seberat 0.2 gram di tangan kanannya.

“Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39 (A) (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1) (A) akta sama dan Seksyen 12 (2) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 2:53 PM