Norzamira Che Noh

POLIS Klang Utara merampas 4,056 gram (g) dadah jenis methamphetamine dan heroin bernilai RM176,370 sepanjang tempoh enam bulan tahun ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, jumlah rampasan itu secara langsung menyelesaikan 13 kes setakat ini.

"Seramai 23 individu turut ditahan iaitu 22 lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara Thailand.

"Secara keseluruhan, kita merampas 4,056 gram dadah iaitu 2,648.7 gram methamphetamine dan 1,407.4g dadah jenis heroin membabitkan nilai rampasan RM176,370," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, hari ini.

NURULHUDA ketika sidang media di Ibu Pejabat Klang Utara, Kapar. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
NURULHUDA ketika sidang media di Ibu Pejabat Klang Utara, Kapar. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL

Sementara itu, Nurulhuda memaklumkan empat individu ditahan kerana terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah berkenaan pada Selasa lalu.

Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menangkap seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun di Jalan Kapar bersama 108 gram dadah disyaki heroin.

"Susulan tangkapan berkenaan, polis kemudian menahan tiga lagi lelaki berusia 30 hingga 40 tahun di kawasan Batu 5 Jalan Kapar. Turut ditemui bersama suspek adalah 50g dadah juga disyaki jenis heroin.

"Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati keempat-empat suspek berkenaan positif dadah jenis opiate. Jumlah anggaran rampasan dadah berkenaan adalah RM7,900.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek tangkapan pertama dan semua tangkapan ditahan reman tujuh hari bermula semalam.

Katanya, semua tangkapan direman tujuh hari bermula semalam hingga 16 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 7:25 PM