SHEIK Azhar (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 18,000 biji pil kuda dan 500 syabu yang ditanam dihalaman rumah serta 24 gram heroin bernilai RM240.000 dalam serbuan disebuah rumah taman di Kampung Ketereh ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHEIK Azhar (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rampasan 18,000 biji pil kuda dan 500 syabu yang ditanam dihalaman rumah serta 24 gram heroin bernilai RM240.000 dalam serbuan disebuah rumah taman di Kampung Ketereh ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Polis Kelantan merampas 18,000 biji pil kuda dan 500 gram syabu yang ditanam di halaman rumah selain, 24 gram heroin bernilai keseluruhan RM240,000 dalam serbuan di Kampung Ketereh di sini, semalam.

Serbuan pada 9.15 malam itu turut menahan lelaki berusia 52 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, ketika serbuan itu pasukan menemui suspek di dalam rumah namun, pemeriksaan di dalam kediaman tidak menemui barang mencurigakan.

"Pemeriksaan lanjut kemudian dilakukan di luar rumah selepas curiga dengan beberapa lubang di sekeliling halaman.

"Anggota menggali lubang itu dengan tiga daripadanya tertanam plastik putih masing-masing berisi 6,000 biji pil kuda, manakala lubang keempat pula menyimpan tin biskut yang di dalamnya ada ketulan kristal dipercayai syabu.

"Suspek dipercayai menanam semua dadah itu antara dua ke tiga hari lalu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Sheik Omar berkata, pasukan juga membuat pemeriksaan dalam reban ayam yang menemui lima botol berbalut surat khabar dan mengandungi 24 gram heroin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai lapan rekod kesalahan lampau membabitkan penyalahgunaan dadah, manakala rumah didudukinya disyaki dijadikan tempat transit menyimpan barang larangan itu sebelum diedar ke seluruh Kelantan dan Terengganu.

Dalam pada itu, JSJN Kelantan turut merampas 101.28 gram syabu bernilai RM10,128 dan wang tunai RM3,500 di sebuah rumah di Kubang Kerian pada 5 petang hari sama.

"Pada serbuan itu, kita menahan lelaki berusia 27 tahun yang ketika kejadian, dia sedang menggenggam dua plastik dadah terbabit.

"Siasatan awal mendapati suspek yang juga penganggur tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencingnya juga negatif dadah," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 3 November untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu polis juga menyita motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan kereta jenis Proton Iriz.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 4:48 PM