LELAKI berusia 37 tahun dan wanita, 23, ditahan polis di Jalan Kampung Syed Sheh Kilang Lama, Kulim kerana memiliki dadah Yaba dan heroin. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI berusia 37 tahun dan wanita, 23, ditahan polis di Jalan Kampung Syed Sheh Kilang Lama, Kulim kerana memiliki dadah Yaba dan heroin. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


PASANGAN kekasih yang juga penagih ditahan anggota polis yang sedang membuat rondaan di Kulim selepas didapati memiliki dadah jenis ‘yaba’ dan heroin, semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, anggota polis yang sedang membuat rondaan menyedari kereta dinaiki lelaki berusia 37 tahun dan wanita berusia 23 tahun dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Syed Sheh, Kilang Lama, di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, anggota polis kemudian bertindak mengarahkan mereka memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam kereta itu menemui enam biji pil disyaki dadah jenis yaba dan satu keratan tiub straw berisi serbuk disyaki heroin.

“Anggota polis kemudian bertindak menahan dan merampas dadah itu sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim (IPD) untuk tindakan selanjutnya.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati mereka positif dadah morfin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, siasatan juga mendapati suspek lelaki memiliki 13 rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 12:01 PM