NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Lee Lam Thye (tengah) bersama Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah, Mahadzir Elias (dua dari kiri) melihat pelbagai jenis dadah yang dipamerkan pada  Program Rakyat Sihat Tanpa Dadah di Taman Setia Jaya . FOTO Amran Hamid
NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Lee Lam Thye (tengah) bersama Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah, Mahadzir Elias (dua dari kiri) melihat pelbagai jenis dadah yang dipamerkan pada Program Rakyat Sihat Tanpa Dadah di Taman Setia Jaya . FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


‘SINDROM Penafian’ terhadap sesuatu perbuatan jenayah oleh segelintir ibu bapa dilihat sebagai punca mereka cenderung menyembunyikan ahli keluarga yang bermasalah dengan penyalahgunaan dadah.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, lazimnya ‘sindrom penafian’ ini disebabkan mereka malu untuk menyerahkan anak mereka kepada pihak berkuasa atau agensi untuk dibantu.

“Mereka akan menafikan sekeras-kerasnya bahawa anak mereka terbabit dengan pelbagai kegiatan jenayah lebih-lebih lagi penyalahgunaan dadah, maka sikap inilah dikatakan sebagai ‘sindrom penafian’.

“Tiada siapa yang akan bantu sekiranya ibu bapa terus bersikap ‘menyembunyikan’ perlakuan anak mereka yang terjebak dengan gejala penagihan dadah kerana ia mampu membangkitkan masalah yang lebih besar termasuk ketenteraman awam apabila berlakunya kecurian serta perbuatan jenayah yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Rakyat Sihat Tanpa Dadah (Bersama Memerangi Dadah) di Dewan Kebajikan Penduduk Taman Setia Jaya, Alor Setar, hari ini.

Menurutnya, dengan meminta bantuan daripada pihak seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), sekurang-kurangnya gejala penagihan dadah yang dihadapi oleh anak mereka dapat dibantu menerusi pelbagai penyelesaian yang ada.

“Saya menggesa supaya ibu bapa yang mempunyai anak atau ahli keluarga yang terbabit dengan gejala penyalahgunaan dadah supaya tampil kehadapan dan mohon bantuan kepada pihak seperti AADK supaya anak mereka dapat diselamatkan daripada terus terjerumus ke kancah penagihan dadah.

“Kita tidak mahu anak mereka ini terus dipersalahkan oleh masyarakat bagi masalah yang berlaku di komuniti dan kita mahukan mereka menjadi orang yang berguna kepada masyarakat dan negara nanti,” katanya.

Sementara itu, hampir 1,000 penduduk Taman Setia Jaya dari pelbagai kaum menghadiri program berkenaan yang turut membincangkan forum pencegahan jenayah antara penduduk dengan anggota polis serta pemimpin masyarakat di kawasan itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Yazri Ismail juga turut hadir dalam program berkenaan.

Asri berkata, pihaknya melihat kawasan Taman Setia Jaya yang mempunyai 800 unit rumah dengan kepadatan 2,000 penduduk ini akan menjalani program ‘Jihad Dadah Fasa 2’ seperti yang sedang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada waktu ini.

“Usaha yang dijalankan ini amat bagus apatah lagi dengan pembabitan pihak polis dalam memastikan kawasan tempat tinggal mereka ini dijauhkan daripada sebarang gejala penagihan dadah, malah ini juga sudah menjadi usaha kami dalam memerangi dadah habis-habisan di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 8:26 PM