PEKET kecil dadah jenis heroin ditemui pada penagih yang ditahan.
PEKET kecil dadah jenis heroin ditemui pada penagih yang ditahan.
Muhaamad Hafis Nawawi dan Aizat Sharif dan Nor Farhani Che Ad


PERKAMPUNGAN nelayan dan kawasan jeti sering dilihat masyarakat sebagai lokasi penyalahgunaan dan penagihan dadah dalam kalangan nelayan di negeri ini dan perkembangan itu juga menjadikan ia sebagai kawasan berisiko tinggi penyalahgunaan dadah.

Malah, tidak dinafikan pelbagai masalah gejala sosial serta kediaman yang tidak teratur ditambah kemunculan tokan dadah kecil-kecilan dalam kalangan mereka juga menjadi penyebab golongan ini didapati mudah terjebak dengan masalah ini.

Tidak hairanlah apabila pelbagai operasi pencegahan serta pembanterasan yang dilakukan polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di kawasan penempatan nelayan berjaya menahan penagih dadah terutama dari golongan nelayan.

Pengarah AADK Negeri Kedah, Mahadzir Elias berkata, walau apa jua perkembangan yang berlaku terhadap golongan ini pemahaman masyarakat harus diubah terhadap kawasan perkampungan serta penempatan nelayan di negeri ini harus dibetulkan kerana tidak semua yang mendiami perkampungan atau penempatan nelayan bekerja sebagai nelayan.

WARTAWAN menemu bual penagih yang ditahan di dalam hutan nipah tepi laut berhampiran dengan Pekan Kuala Muda.
WARTAWAN menemu bual penagih yang ditahan di dalam hutan nipah tepi laut berhampiran dengan Pekan Kuala Muda.

“Isu dia sekarang ini adalah bila yang ambil dadah ini terutama di kawasan ini (perkampungan nelayan) dia dikatakan nelayan tapi tidak semestinya dia itu nelayan.

“Malah, kita pernah membuat kajian berkenaan gejala penagihan di kawasan nelayan ini dan berdasarkan siri operasi tangkapan penagih yang dilakukan oleh kami di perkampungan nelayan didapati bahawa tidak semua yang ditangkap itu adalah nelayan kerana industri perikanan ini besar dan ada yang ditangkap itu bekerja di kilang ikan sebagai pemandu atau pekerja kilang itu dan tidak langsung turun ke laut menangkap ikan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Pejabat AADK negeri Kedah di sini.

Katanya, terdapat perbezaan gejala penagihan dadah di Kedah dan negeri lain kerana di negeri ini, berdasarkan data AADK negeri mendapati perkampungan nelayan di Kedah ini banyak didiami oleh orang tempatan.

“Jika orang tempatan, kebarangkalian penagihan dadah itu berlaku memang tepat berbeza dengan Perak di mana industri perikanannya ada yang menggunakan warga asing dan kebanyakan nelayan tempatannya jarang ditahan terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Budaya di Kedah pula, jika dilihat pada tempatnya di Bukit Malut, Langkawi, Kuala Kedah, Kuala Jerlun dan Kuala Sala memang boleh dikatakan semua yang mendiami kawasan itu adalah nelayan,” katanya.

MAHADZIR ELIAS
MAHADZIR ELIAS

Mahadzir berkata, berdasarkan kajian serta data yang diperolehi pihaknya mendapati kebanyakan golongan nelayan di Kedah yang ditahan oleh pihaknya masih menggunakan dadah jenis opiat atau dadah tradisional seperti heroin dan morfin.

“Kebanyakan penggunaannya juga bukanlah untuk menjadi kuat tetapi lebih kepada tujuan menenangkan diri dan fikiran demi untuk menghilangkan rasa belenggu dengan masalah yang melanda mereka dan ada sesetengah mereka juga menggunakan dadah jenis syabu, tetapi tidaklah banyak seperti heroin dan morfin ini.

“Di negeri ini, syabu lebih sinonim digunakan oleh nelayan pukat tunda di mana dadah ini memberikan kekuatan tenaga kepada mereka untuk bertahan berhari-hari menangkap ikan di lautan manakala opiat iaitu heroin dan morfin pula banyak digunakan oleh nelayan pesisir pantai yang lebih berbentuk santai dan situasi ini juga turut sama berlaku di Langkawi,” katanya.

ANTARA kelengkapan pengambilan dadah yang digunakan penagih.
ANTARA kelengkapan pengambilan dadah yang digunakan penagih.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Beliau berkata, berdasarkan data AADK Kedah, sembilan kampung atau penempatan golongan nelayan dari empat daerah di negeri ini dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi gejala penagihan serta penyalahgunaan dadah.

“Antara kawasan berisiko tinggi itu adalah Kampung Kuala Jerlun di daerah Kubang Pasu, Kampung Ulu, Kampung Tepi Laut, Kampung Tengah, Taman Kota Nelayan dan Kampung Tok Pasai di daerah Kota Setar, kawasan Tanjung Dawai dan Kota Kuala Muda di daerah Kuala Muda dan Pulau Tuba di Langkawi.

“Dari segi populasi penduduk di sembilan kawasan berisiko tinggi ini, Pulau Tuba mencatatkan populasi penduduk yang tinggi iaitu sebanyak 8,000 orang penduduk diikuti Kampung Kuala Jerlun sebanyak 5,000, populasi ini kemudian diikuti oleh Tanjung Dawai (3,000) dan Kota Kuala Muda (2,450).

“Selain itu juga, kawasan nelayan yang lain seperti Taman Kota Nelayan mempunyai 884 orang penduduk, Kampung Ulu (749), Kampung Tok Pasai (532), Kampung Tepi Laut (350) dan Kampung Tengah (327),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 6:35 AM