SEBAHAGIAN peserta projek kebun komuniti MPAJ dan AADK di kawasan Rukun Tetangga Pandan Mewah.
SEBAHAGIAN peserta projek kebun komuniti MPAJ dan AADK di kawasan Rukun Tetangga Pandan Mewah.

Ampang: Gempur dan roboh, itulah tindakan drastik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Ampang merobohkan ‘port’ penagih yang pernah diserbu sebelum ini untuk mengelak penagih kembali bersarang di tempat berkenaan.

Tindakan merobohkan sarang penagih ini dilakukan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan penduduk kawasan Pandan Mewah secara bergotong-royong.

Ketua Pegawai AADK Ampang Hasnina Ibrahim berkata, program yang dikenali sebagai ‘My Beautiful Malaysia’ dilaksanakan untuk melahirkan semangat kesukarelawan dalam masyarakat untuk membasmi permasalahan dadah di kawasan komuniti.

Menurutnya, usaha ini perlu dilakukan kerana ia bukan sahaja dapat mengurangkan masalah sosial dalam kalangan anak-anak muda di kawasan mereka tetapi sekaligus membantu mencegah kegiatan jenayah lain.

“AADK mengenalpasti salah satu punca penagihan dadah adalah kewujudan tempat tersembunyi yang jauh daripada pandangan orang ramai menyebabkan mereka mempunyai ruang dan peluang menagih dadah.

“Ramai penagih yang kembali aktif disebabkan ‘port’ mereka dibiarkan begitu sahaja selepas diserbu dan tindakan merobohkan ini juga perlu untuk mengelak golongan anak muda menjadikan tempat ini sebagai tempat melepak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Hasnina berkata, pihak AADK sentiasa terbuka untuk menerima maklumat daripada penduduk berhubung sarang penagihan di kawasan mereka untuk tindakan segera seperti yang digariskan dalam Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilancarkan sebelum ini.

Sementara itu, Yang Dipertua MPAJ Abd Hamid Hussain berkata, pihaknya sentiasa menyokong tindakan memerangi penagihan dadah dan jenayah lain serta sudah mengenalpasti empat lokasi untuk program hijau iaitu dua kawasan di Taman Bukit Indah, Keramat AU2 dan Pandan Mewah.

Katanya, setiap kawasan yang dirobohkan juga diubah menjadi kawasan ‘Kebun Komuniti’ yang akan diusahakan oleh penduduk sendiri untuk mengelakkan penjenayah mengambil kesempatan melakukan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 8:18 AM