Zulkifli (kiri) bersama Alias ketika mengadakan sidang media di majlis Family On Alert di Kampung Seberang Pintasan, Dungun, hari ini. Foto Rosli Ilham
Zulkifli (kiri) bersama Alias ketika mengadakan sidang media di majlis Family On Alert di Kampung Seberang Pintasan, Dungun, hari ini. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham


LEBIH tiga juta keluarga di negara ini berisiko tinggi terbabit dengan penyalahgunaan dadah berikutan elemen persekitaran kehidupan yang tidak konduksif.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, penduduk yang tinggal di kawasan penempatan nelayan, projek perumahan rakyat (PPR) serta tanah rancangan antara yang dikesan paling terdedah dan berisiko.

Menurutnya, sebanyak 178 kawasan dikenal pasti berdepan dengan risiko masalah penagihan dan pengedaran dadah.

“Kawasan berisiko itu dikategorikan sebagai zon merah kerana ada port dadah, ramai penagih serta banyak kes jenayah yang mungkin disumbangkan golongan penagih yang terbabit.

“Kita sudah mengambil tindakan dan perhatian di kawasan berkenaan dengan mengadakan pelbagai program kepada penduduk termasuk pelajar di sekolah,” katanya ketika merasmikan Program Family On Alert di Kampung Seberang Pintasan di Dungun, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang Alias Harun, Pengarah Bahagian Pencegahan AADK Abdul Rahman Hamid dan Pengarah AADK Terengganu Roslan Husin.

Zulkifli berkata, jumlah itu juga menunjukkan Kelantan, Perak dan Johor antara negeri tertinggi berhadapan dengan gejala negatif itu.

“Sepanjang tahun lalu, AADK mengesan seramai 162,000 penagih dan kebanyakan yang dikesan berusia antara 19 tahun hingga 39 tahun.

“Antara dadah yang paling popular dalam kalangan penagih ialah methamphetamine, syabu dan pil kuda,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 3:05 PM