Yusmizal Dolah Aling


MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengusulkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan sidang khas mengenai isu ancaman yang sedang dihadapi Masjid al-Aqsa ketika ini.

Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, rejim Zionis bertindak ganas melakukan pencerobohan jenayah ke atas masjid itu yang menimbulkan kemarahan umat Islam.

Katanya, sejak pembunuhan tiga warga Palestin di dalam masjid al-Aqsa Jumaat lalu, masjid itu ditutup askar Israel selama empat hari mengakibatkan ketegangan tercetus setiap hari sehingga puluhan warga tempatan cedera.

"Kami berpendapat ulama dan mufti di Malaysia perlu bertemu bagi membincangkan sikap dan pendirian umat Islam mengenai isu berkenaan.

“MAPIM mengusulkan agar rumusan mufti di Malaysia akan diketengahkan kepada umat Islam di seluruh dunia. Ia menunjukkan keprihatinan yang serius diberi ulama di Malaysia mengenai ancaman terhadap Masjid al-Aqsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 7:14 PM