PENGHUNI Rumah kebajikan Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Cahaya Bistari dan Asrama Darul Falah memilih baju raya, semalam.
PENGHUNI Rumah kebajikan Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Cahaya Bistari dan Asrama Darul Falah memilih baju raya, semalam.
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik, Guardian Malaysia semalam melancarkan kempen amal mengumpul dana untuk dua rumah kebajikan kanak-kanak sepanjang Ramadan ini.

Melalui Kempen Beli & Derma itu, satu usaha sama dengan Reckitt Benckiser (M) Sdn Bhd, Guardian Malaysia akan mendermakan RM1 untuk setiap jualan bernilai RM30 untuk produk Dettol di mana-mana cawangannya di seluruh negara sepanjang Jun ini.

Pengarah Pemasaran Guardian Malaysia Christina Low berkata, dua rumah kebajikan berkenaan adalah Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Cahaya Bistari di Batu Caves, Selangor dan Asrama Darul Falah (ASDAF) di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.

“Kami menyasarkan kutipan RM20,000 daripada kempen ini dan diharapkan sumbangan berkenaan dapat digunakan untuk persediaan menyambut Aidilfitri atau yuran sekolah serta keperluan lain.

“Ramadan adalah masa untuk melakukan amal kebajikan membantu golongan memerlukan dan atas semangat itu, rakan kami di Guardian Malaysia bekerjasama dengan Reckitt Benckiser untuk mengumpul dana buat dua rumah kebajikan yang menjaga hampir 100 kanak-kanak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen berkenaan dan berbuka puasa bersama 100 kanak-kanak dua rumah kebajikan berkenaan di Pasaraya Mydin Bandar Kinrara, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Reckitt Benckiser, Malaysia dan Singapura Tiffany Tang berkata, kerjasama itu juga memberi peluang mereka mendekati jutaan pelanggan Guardian yang beli-belah di cawangan Guardian seluruh negara mahupun secara dalam talian.

Selain pelancaran kempen, majlis turut menyaksikan Guardian Malaysia membawa kanak-kanak berkenaan membeli-belah dengan setiap seorang diberikan RM100 untuk berbelanja selain Dettol mengadakan sesi interaktif mengenai penjagaan kebersihan diri dan setiap kanak-kanak membawa pulang barangan Dettol bernilai RM50.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 5:37 AM