GUARDIAN melancarkan fasa kedua kempen CSR serantau.
GUARDIAN melancarkan fasa kedua kempen CSR serantau.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Peneraju rangkaian kesihatan, kecantikan dan farmasi runcit, Guardian, berjaya mencapai sasaran menyediakan 20 juta mandian kepada kanak-kanak kurang bernasib baik menerusi kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) serantaunya, 'Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak' sepanjang tahun ini.

Pengarah Pemasaran, Guardian Malaysia, Anna Ng berkata, kejayaan itu dapat dicapai kerana sokongan padu pelanggan terhadap kempen berkenaan.

"Kami bersyukur dan berterima kasih kepada pelanggan yang membantu kami meraih pencapaian 100 peratus dalam menyediakan 20 juta mandian untuk kanak-kanak kurang bernasib baik di rantau ini, khususnya di Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Kemboja sepanjang tahun ini.

"Daripada jumlah itu, 40,000 mandian disumbangkan kepada kanak-kanak di negara ini.

"Hasil daripada pencapaian itu, tahun 2024 sasaran kami adalah untuk menggandakan menjadi 40 juta mandian iaitu dua kali ganda berbanding tahun lalu kepada golongan terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Anna lagi, program CSR serantau itu mengiktiraf bahawa semua orang berhak untuk menjadi bersih dan sihat kerana ia adalah hak asasi setiap manusia.

Justeru kata Anna, menjaga kebersihan dan kesihatan adalah hak asasi segenap masyarakat jadi ia tidak boleh dianggap sebagai kemewahan khususnya kepada kanak-kanak.

"Kanak-kanak terutama daripada keluarga berpendapatan rendah terdedah kepada pelbagai risiko.

"Kami percaya apabila kanak-kanak berasa bersih dan wangi, keyakinan diri serta kesejahteraan mental mereka dapat ditingkatkan.

MENJAGA kebersihan dan kesihatan adalah hak asasi segenap masyarakat.
MENJAGA kebersihan dan kesihatan adalah hak asasi segenap masyarakat.

"Fasa kedua #Guardiancares 'Bersama, Menjaga Kebersihan dan Kesihatan Kanak-Kanak' bermula pada 27 Disember ini, untuk itu kami harap pelanggan akan terus menyokong kempen berkenaan dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar ini bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik menjaga kebersihan serta kesihatan mereka," katanya

Dalam pada itu, selain menyediakan produk penjagaan mandian, rangkaian kesihatan, kecantikan dan farmasi runcit berkenaan akan menganjurkan Bengkel Kebersihan Interaktif di sekolah di mana pelajar diajar amalan kebersihan yang baik.

Menerusi kempen berkenaan, 15 sen daripada setiap liter produk penjagaan mandian jenama itu yang dijual di seluruh negara akan disumbang untuk membeli produk mandian bagi kanak-kanak kurang berkemampuan.

Selain itu, patung beruang dan tuala istimewa Guardiancares akan dijual dan semua hasil jualan disalurkan ke dana #guardiancares untuk menyokong keperluan penjagaan mandian kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia.

AHLI farmasi memberi maklumat mengenai amalan kebersihan yang baik untuk kanak-kanak.
AHLI farmasi memberi maklumat mengenai amalan kebersihan yang baik untuk kanak-kanak.

Sementara itu, pemenang peraduan Face of Healthy Beauty Guardian 2023, Kay Yap Yen Yin pula memilih menyumbang produk mandian kepada kanak-kanak Yayasan Sunbeams Home di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam satu majlis diadakan baru-baru ini, penghuni rumah kebajikan terbabit menerima sumbangan produk penjagaan mandian jenama itu bernilai RM5,000.

"Diharap sumbangan produk penjagaan mandian itu sedikit sebanyak dapat meringankan kesukaran kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

"Semoga lebih ramai kanak-kanak mendapat akses kepada keperluan penjagaan diri yang berkualiti bukan sahaja di Malaysia malah seluruh rantau ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 6:09 AM