Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggandakan usaha bersepadu bersama pelbagai agensi kerajaan berkaitan yang lain dengan menganjurkan kempen kesedaran serta pendekatan cari dan musnah sarang pembiakan aedes bagi membanteras gejala wabak denggi.

Inisiatif itu digerakkan selepas melihat trend kes demam denggi pada tahun sebelumnya yang tidak konsisten jumlahnya selain jangkaan berlaku peningkatan kes pada akhir tahun ini dan awal tahun depan.

Antara langkah proaktif dilakukan baru-baru ini, KKM bersama enam kementerian lain melalui Jawatankuasa Mengenai Denggi Peringkat Kebangsaan menganjurkan program Gotong-Royong Mega Bersepadu Perangi Aedes yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara.

Aktiviti gotong-royong mega difokuskan kepada kawasan tanah atau lot kosong kerana hasil pemantauan KKM sepanjang tahun ini, menunjukkan longgokan sampah di tanah atau lot kosong menyumbang sembilan peratus kepada pembiakan aedes.

Bagi menyahut saranan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga mengarahkan semua Kem Tentera Darat melaksanakan gotong-royong bermula 23 September di seluruh negara mengikut jadual kem masing-masing.

Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan gotong-royong di seluruh sekolah pada bulan ini manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganjurkan gotong-royong di semua kuarters PDRM di Hulu Kelang.

Selain itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia memainkan peranan dengan memberi slot penyiaran di media massa untuk kempen cegah denggi serta aktiviti gotong-royong mega selain aktiviti gotong-royong di Masjid Muhammadi Angkasapuri.

Pada masa sama, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Malaysia (JPNIN) turut mengadakan gotong royong dalam kawasan rukun tetangga (KRT) termasuk Tabika Perpaduan serta Taska PERMATA Perpaduan di bawah seliaan JPNIN.

Bermula Januari hingga 19 November lalu situasi denggi di Malaysia menunjukkan penurunan apabila sebanyak 92,891 kes membabitkan 214 kematian dilaporkan berbanding 106,757 kes dengan 293 kematian dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 47,672 dengan 71 kematian diikuti Johor (10,037) dan 21 kematian manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya meningkat daripada 7,408 (2015) kepada 7,939 tahun ini.

Jumlah kes di Kelantan juga dilihat meningkat dengan 5,522 kes berbanding hanya 2,543 tahun sebelumnya diikuti Sabah 3,304 daripada 2,422 (2015), Negeri Sembilan 2,517 daripada 2,103 (2015) serta Sarawak 2,503 berbanding 1,776 pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 6:09 AM