KHALID (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan (kiri) dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim ketika majlis Gotong-Royong Mega Putrajaya 2018. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KHALID (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan (kiri) dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim ketika majlis Gotong-Royong Mega Putrajaya 2018. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Zanariah Abd Mutalib


JUMLAH kes denggi di Putrajaya menurun sebanyak 38 peratus, daripada 526 kes dari Januari hingga Oktober tahun lalu, kepada 327 kes bagi tempoh sama tahun ini.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, berkata penurunan itu adalah hasil kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) dan penduduk dalam melaksanakan program gotong royong dan kebersihan, serta tahap kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan warga bandar ini.

"Walaupun ada penurunan dalam jumlah kes tetapi ia masih tinggi, jadi jangan berpuas hati dan teruskan usaha sehingga ia menurun kepada sifar denggi.

"Usaha untuk kita mencapai status negara maju bukan hanya dari segi ekonomi saja tetapi juga melalui sikap dan budaya kita, jadi teruskan menjaga kebersihan dan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Gotong Royong Mega Putrajaya 2018 di Apartment Fasa 4, Presint 9 Putrajaya, hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan dan Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Khalid berkata, kawasan pangsapuri berkenaan sebelum ini mencatatkan 14 kes denggi dengan satu lokasi 'hotspot,' berpunca daripada sampah tabur dan kelemahan kebersihan persekitaran yang menyebabkan pembiakan jentik-jentik.

"Justeru, aktiviti gotong-royong hari ini akan dijalankan secara menyeluruh dengan memberi fokus kepada aktiviti mencari dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes," katanya.

Beliau juga berharap program seumpama itu akan diteruskan dan membabitkan skala lebih besar melalui kerjasama dengan pelbagai pihak lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 11:11 AM