Sebahagian peserta Gotong-Royong Perdana Misi Gempur Denggi di Taman Sinar Warisan, Bukit Saujana.
Sebahagian peserta Gotong-Royong Perdana Misi Gempur Denggi di Taman Sinar Warisan, Bukit Saujana.

Sungai Buloh: Sebanyak 200 peserta terbabit program gotong-royong perdana sebagai usaha memberi penekanan terhadap aspek kebersihan dan kesihatan dalam kalangan penduduk berikutan peningkatan kes denggi.

Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor Shashim Shah Harun berkata, penganjuran program gotong-royong perdana itu sebahagian usaha membasmi penularan wabak berkenaan.

“Usaha ini menghindarkan masyarakat daripada dijangkiti denggi di samping menyahut seruan kerajaan yang meminta semua agensi kerajaan membantu menghapuskan pembiakan nyamuk aedes.

“Peningkatan kes denggi di kawasan ini amat membimbangkan dan langkah proaktif harus segera diambil,” katanya pada program gotong-royong perdana misi gempur denggi anjuran Persatuan Penduduk Bandar Saujana Utama di sini, semalam.

Katanya, pihaknya sentiasa membuat semburan asap di kawasan yang dicatatkan kes tertinggi denggi dan pelbagai kempen kesedaran juga aktif dilaksanakan.

Sementara itu, pengerusi persatuan penduduk perumahan berkenaan, Farridzin Ikhsan berkata, antara aktiviti dijalankan seperti membersihkan longgokan sampah, pemeriksaan tapak bangunan dan pengalihan kereta terbiar.

“Saya menggesa penduduk di kawasan ini membersihkan kawasan kediaman secara berkala bagi memastikan keadaan selamat dan bersih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 5:05 AM