KERTAS pertaruhan yang dikumpul suspek.
KERTAS pertaruhan yang dikumpul suspek.
RESTORAN diserbu polis yang digunakan suspek kumpul pertaruhan.
RESTORAN diserbu polis yang digunakan suspek kumpul pertaruhan.
Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Pura-pura minum kopi sambil mengumpul pertaruhan daripada kaki judi. Itu taktik penyamaran popular dilakukan bookie judi pertaruhan bola sepak Euro 2016.

Suspek dikesan hanya bermodalkan sebatang pen, kertas kosong, telefon pintar atau tablet untuk mengambil pertaruhan daripada pelanggan seluruh negara.

Penyamaran itu didedahkan Pasukan Khas Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Gengsterisme (D7) yang menahan lima bookie pertaruhan judi bola sepak Euro 2016, kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman Datuk Rosli Chik berkata, suspek ditahan menerusi Ops Soga VI dilaksanakan polis di Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.

Katanya, operasi itu dilakukan serentak bermula jam 1 pagi hingga 11.59 malam bagi membendung kegiatan perjudian haram di negara ini.

“Lima suspek lelaki ditahan menerusi lima serbuan membabitkan satu premis restoran di Selangor, dua premis makanan di Johor Bharu, satu di Pulau Pinang dan satu lagi di Sabah.

“Polis merampas wang tunai RM4,890 bersama peralatan digunakan bagi mengumpul dan menguruskan perjudian dalam talian membabitkan lima telefon pintar, tablet, komputer riba dan modem Internet daripada suspek,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap peralatan elektronik berkenaan menemui pautan laman sesawang digunakan bookie untuk pertaruhan judi bola sepak.

“Pelanggan mempunyai had pinjaman dibenarkan RM57,615.10 untuk setiap pertaruhan,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, semalam.

Rosli berkata, semua individu terbabit ditahan reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953.

Katanya, pihaknya turut memantau beberapa laman web dikenal pasti digunakan sindiket menjalankan kegiatan pertaruhan sepanjang kejohanan bola sepak Euro 2016 berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 10:30 AM