Polis memeriksa komputer yang dipercayai digunakan bagi pertaruhan bola sepak Euro di Melaka, hujung minggu lalu. FOTO Ihsan Polis.
Polis memeriksa komputer yang dipercayai digunakan bagi pertaruhan bola sepak Euro di Melaka, hujung minggu lalu. FOTO Ihsan Polis.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menahan seramai 152 individu yang dipercayai terbabit dalam judi pertaruhan bola sepak Kejohanan Euro 2020 menerusi Op Soga VIII pada 10 hingga 21 Jun lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, sebanyak 107 serbuan dilakukan di seluruh negara dalam tempoh itu membabitkan wang rampasan bernilai RM115,132 dengan had kredit pertaruhan RM11.6 juta.

"Pelbagai peralatan peranti elektronik yang digunakan untuk aktiviti catit taruh haram dirampas antaranya 24 set komputer, 11 unit komputer riba, satu unit tablet, 166 telefon pintar, lima mesin kira-kira dan 12 unit modem.

"Selain itu turut dirampas ialah dua unit mesin pencetak, 115 simkad, sembilan jadual perlawanan serta kertas dan 43 keping catitan atau buku yang mengandungi catatan pertaruhan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abd Jalil berkata, modus operandi yang digunakan sindiket pada kali ini sedikit berbeza berbanding sebelum ini, namun kebanyakannya beroperasi secara dalam talian.

"Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman akan menggandakan usaha dalam pemantauan dan pencegahan kegiatan pertaruhan haram sempena Piala Euro 2020.

"Fokus utama operasi ini untuk mencegah dan membanteras kegiatan pertaruhan yang dijalankan bookie atau punter," katanya yang memberitahu siasatan adalah mengikut Akta Pertaruhan 1953.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan sebegitu supaya menyalukannya kepada polis untuk diambil tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 5:44 PM