Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Petra Jaya: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengejutkan media apabila tidak mengumumkan senarai calon langsung Barisan Nasional (BN) seperti yang dijanjikan semalam, sebaliknya hanya mengumumkan 10 calon dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Pengamal media berkumpul di Tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia, di sini, bagi mendengar pengumuman mengenai senarai calon langsung BN seperti yang dijanjikan, tetapi teka-teki itu masih tidak terjawab apabila Adenan tidak membuat pengumuman mengenainya.

Adenan berkata, senarai calon BN untuk Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) akan terus diumumkan secara berperingkat sebelum tarikh penamaan calon.

“Masih ada masa lagi, semuanya akan diumumkan secara berperingkat. Setakat ini, calon bagi Parti Rakyat Sarawak (PRS) sudah diumumkan, manakala bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah lebih 40 calon diumumkan.

“Hari ini (semalam) kami umumkan 10 calon SUPP. Calon lain kami akan terus umumkan secara berperingkat, mungkin setiap minggu sehingga hari penamaan calon,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, Adenan yang diasak wartawan dengan soalan mengenai calon langsung BN dan kemelut yang belum selesai antara parti serpihan, Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dengan tenang hanya menyuruh wartawan bersabar.

“Itu masalah saya, biar saya fikirkan. Nanti sudah ada, kita akan umumkan. Yang pasti semua calon diumum sebelum hari penamaan calon.

“Namun, saya belum tahu bila tarikh penamaan calon kerana ia hanya ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Dalam sidang media itu, Adenan mengumumkan 10 nama mewakili parti SUPP untuk bertanding pada PRN-11.

Calon itu ialah Peter Pau bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan, Milton Foo Tiang Wee (DUN Pending), Sih Hua Tong (DUN Batu Lintang), Wilfred Yap Yau Shin (DUN Kota Sentosa), Lo Khere Chiang (DUN Batu Kitang), Datuk Dr Sim Kui Hian (DUN Batu Kawah), Datuk Francis Harden Hollis (DUN Simanggang), Chieng Buong Toon (DUN Bukit Assek), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew (DUN Piasau) dan Datuk Lee Kim Shim (DUN Senadin).

Sebanyak 82 kerusi DUN bakal dipertandingkan pada PRN-11 kali ini, termasuk 11 DUN baru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 9:26 AM
ADENAN (tengah) bersama calon SUPP yang bertanding.
ADENAN (tengah) bersama calon SUPP yang bertanding.