Adenan berjalan keluar selepas sidang media khas mengumumkan tarikh pembubaran DUN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia,  Kuching, semalam.
Adenan berjalan keluar selepas sidang media khas mengumumkan tarikh pembubaran DUN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, semalam.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Petra Jaya: Di sebalik pengumuman rasmi Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam, beliau kelihatan terus dibelenggu krisis dalaman membabitkan parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri menjelang pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11).

Ketika ditanya wakil media berkaitan kemelut melanda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan parti serpihannya, Adenan hanya berulang kali menjawab, ‘Kita (Barisan Nasional (BN) negeri) akan selesaikan.’

Pada sidang media khas yang berlangsung di Wisma Bapa, semalam, Adenan enggan mengulas lanjut mengenai konflik membabitkan parti terbabit, sebaliknya hanya menyatakan BN negeri akan menangani krisis itu mengikut formula calon langsung, selain menetapkan perjanjian dengan calon yang dipilih.

“Setakat ini, suku daripada calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah disenarai akhir dan (ada sudah) diumumkan manakala bagi Parti Rakyat Sarawak (PRS) senarai calonnya juga sudah disenarai akhir.

“Cuma calon bagi SPDP dan SUPP belum dibuat tetapi sudah ada perjanjian. Beberapa kerusi akan diperuntukkan untuk calon langsung BN, namun jumlahnya akan diumumkan kemudian,” katanya.

Baru-baru ini, Adenan ada menjelaskan kepada media bahawa calon langsung yang bertanding pada PRN-11 untuk mewakili BN tidak dibenarkan mengibarkan bendera parti masing-masing ketika berkempen melainkan lambang BN.

Beliau juga menegaskan calon terbabit perlu berjanji dan berikrar taat setia kepada BN, selain mereka perlu memilih untuk mewakili satu daripada parti yang hanya membabitkan komponen BN negeri sekiranya memenangi kerusi ditandingi.

Terdahulu, pada sidang media sama, Adenan mengumumkan 11 April ini sebagai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Adenan turut bertemu Abdul Taib di kediamannya di Demak di sini, bagi membincangkan mengenai tarikh pembubaran DUN sebelum menghadiri Mesyuarat Kabinet Negeri, semalam.

Adenan menjelaskan, surat pengisytiharan pembubaran DUN sudah disediakan dan Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar akan menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebaik pembubaran DUN, SPR akan menentukan tarikh hari penamaan calon dan pengundian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 9:39 AM