ADENAN bersama calon BN yang akan bertanding pada PRN-11 di Ibu Pejabat PBB, Bako, Kuching.
ADENAN bersama calon BN yang akan bertanding pada PRN-11 di Ibu Pejabat PBB, Bako, Kuching.
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Petra Jaya: “Hentikan persengketaan dan fokus untuk mendapatkan kemenangan pada 7 Mei ini,” tegas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Adenan berkata, Barisan Nasional (BN) perlu bekerja sebagai satu pasukan demi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) ini.

“Semua isu diselesaikan dan tidak perlu ungkit lagi perkara yang sudah berlaku. Saya harap kritikan terbuka tidak akan berulang lagi.

“Sekarang ini kita fokus kepada PRN-11, hentikan semua persengketaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai calon Pending dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo yang membuat kritikan terbuka di laman sosial mengenai pembahagian kerusi dalam parti komponen BN.

Milton mengkritik tindakan Adenan memberikan kerusi kepada Parti Rakyat Bersatu (UPP) di Pelawan dan Pujut sebagai calon langsung BN.

Milton turut mendakwa Adenan membuat keputusan tanpa meminta pendapat ahli parti komponen lain.

Sementara itu, Milton yang ditemui enggan mengulas lanjut mengenai tindakannya itu dan menegaskan semuanya sudah diselesaikan.

“Adenan sedia mendengar apa yang disampaikan, tetapi sekiranya ini berlaku dalam DAP, sudah pasti saya disingkirkan sebagai calon.

“Lebih baik kita hentikan semua isu ini dan fokus kepada PRN. Saya gembira kerana Adenan bersedia untuk mendengar dan dikritik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:21 AM