Ainul Fatihah Mansor

Kuala Lumpur: Biarpun sudah 13 hari ditayangkan di pawagam, penangan BoBoiBoy: The Movie tetap hebat dalam kalangan peminat animasi tempatan terutama sepanjang musim cuti persekolahan ini.

Tinjauan Harian Metro di GSC Mid Valley, di sini mendapati ramai ibu bapa dan anak mereka yang berbaris di kaunter bermula tengah hari bagi membeli tiket untuk menonton filem berkenaan yang ditayangkan pada jam 3.30 petang dan 5.55 petang.

Kakitangan swasta Ahmad Firdaus Zainal, 33, berkata, dia dan isterinya mengambil peluang sempena cuti persekolahan untuk membawa anak menonton filem kegemaran mereka.

Menurutnya, jika sebelum ini dia sibuk bekerja namun cuti persekolahan kali ini dimanfaatkan sepenuhnya dengan meluangkan masa bersama anak dan isteri.

“Anak saya gembira kerana permintaan mereka untuk menonton filem ini di pawagam ditunaikan kerana saya sudah berjanji untuk membawa mereka ke sini sebelum ini.

“Nasib baik ada kekosongan tempat duduk walaupun sedikit saja kerana saya difahamkan waktu tayangannya sentiasa penuh,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan filem animasi BoBoiBoy: The Movie mencipta sejarah apabila menjadi filem animasi Melayu pertama yang berjaya mendapat kutipan pecah panggung sebanyak RM8 juta selepas 11 hari ditayangkan.

Filem arahan Nizam Razak dan terbitan Animonsta Studios serta edaran Primeworks Studios yang mula ditayangkan di seluruh negara dan Brunei sejak 3 Mac lalu itu turut mengatasi kutipan filem animasi Melayu lain iaitu Seafood sebanyak RM2.4 juta dan Geng Pengembaraan Upin Ipin (RM6.3 juta).

Kakitangan swasta Maylini Manikam, 28, berkata dia membawa anak buahnya, Sahnjaay dan Sehnjeev Kumar, masing-masing berusia empat dan 12 tahun ke pawagam berkenaan semata-mata untuk menonton filem animasi berkenaan.

“Bagaimanapun, kebanyakan tempat duduk sudah penuh menyebabkan kami mengambil keputusan untuk menonton filem lain terlebih dahulu dan mencari masa sesuai untuk menonton selepas ini.

“Sekurang-kurangnya anak buah tidak kecewa kerana saya tetap akan menunaikan janji untuk membawa mereka melihat BoBoiBoy: The Movie,” katanya.

Pengunjung yang ingin dikenali sebagai Liong berkata, dia terkejut apabila melihat orang ramai terutama yang sudah berkeluarga beratur panjang di pawagam.

“Rupa-rupanya mereka datang bersama keluarga untuk menyaksikan filem animasi berkenaan.

“Melihat sambutan yang begitu baik membuatkan saya teringin untuk menonton filem berkenaan selepas ini, malah watak yang diwujudkan juga membabitkan pelbagai kaum, sekali gus menjadikannya lebih menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 9:40 AM
Aksi kanak-kanak meniru gaya kartun animasi BoBoiBoy di GSC Mid Valley, semalam.
Aksi kanak-kanak meniru gaya kartun animasi BoBoiBoy di GSC Mid Valley, semalam.