EJEN Ali the Movie raih RM30 juta.
EJEN Ali the Movie raih RM30 juta.
Najiy Jefri


FILEM animasi, Ejen Ali The Movie membuka lembaran 2020 penuh bergaya apabila meraih kutipan sebanyak RM30 juta dalam tempoh enam minggu tayangan.

Filem terbitan bersama Primeworks Studios dan Wau Animation itu menduduki carta tiga filem tempatan yang mencatat kutipan terbanyak sepanjang zaman selepas Munafik 2 (RM48 juta) dan Hantu Kak Limah (RM36 juta) selain berada carta teratas filem pecah panggung tempatan 2019.

Mula menemui penonton di pawagam pada 28 November lalu, Ejen Ali The Movie turut mencipta rekod baru apabila kutipan filem terbabit berjaya mengatasi kutipan filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal dan Boboiboy The Movie 2 yang juga ditayangkan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, Ejen Ali The Movie yang mula menguasai pawagam tempatan sejak musim cuti persekolahan lalu juga berjaya menandingi filem-filem popular antarabangsa yang lain.

“Primeworks Studios berjaya mencipta sejarah baru kali ini dengan kejayaan filem Ejen Ali The Movie. Saya percaya pencapaian ini bukan saja berjaya mengetengahkan potensi serta bakat-bakat baru dari WAU Animation, tetapi juga dapat membuktikan kredibiliti industri perfileman dan animasi Malaysia dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi yang mendapat sokongan padu dan menjadi kebanggaan penonton.

“Terima kasih kerana menyokong dan menjadikan filem ini sebagai filem animasi nombor satu dan filem animasi ketiga terbesar sepanjang tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin berkata, pihaknya bersyukur dan tidak menyangka filem terbabit mampu sampai ke tahap sekarang dan terus menjadi sebutan.

“Kami sangat teruja menyaksikan kejayaan Ejen Ali The Movie kerana ketika pertama kali kami merangka konsep Ejen Ali dan dunia perisikannya, kami tidak pernah membayangkan kisah Ali akan dikongsikan ke layar perak.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menonton filem ini dan kepada semua yang berkongsi pengalaman menonton filem ini dengan rakan-rakan serta keluarga. Terima kasih di atas komen positif anda, terima kasih kerana menjadikan mimpi kami sebagai satu realiti,” katanya.

Selain Malaysia, Ejen Ali The Movie turut ditayangkan di Singapura dan Brunei. Ia turut ditayangkan di Indonesia sejak 1 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 1:50 PM