Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Penangan Boboiboy The Movie yang mula ditayangkan pada 3 Mac lalu menyaksikan ada ibu bapa mengambil cuti bekerja untuk membawa anak mereka menonton filem animasi itu.

Tinjauan Harian Metro di GSC Mid Valley semalam mendapati ada ibu bapa membawa anak masing-masing mula berbaris di kaunter bermula 8 malam bagi membeli tiket untuk menonton filem berkenaan yang ditayangkan pada 10.00 malam.

Kakitangan swasta, Abu Hurairah Ruslan, 31, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk membawa anaknya berusia dua tahun menyaksikan filem animasi itu.

"Saya memang mengambil cuti kerja untuk membawa anak saya memandangkan dia memang gemar menonton filem itu sudah mula ditayangkan.

"Ini cara saya untuk memenuhi permintaan anak yang sebelum ini kerap bertanyakan masa untuk menonton filem ini. Saya lihat jualan tiket laris dan tempat duduk sangat terhad sama ada di bahagian hadapan atau tayangan tengah malam di beberapa pawagam di ibu negara.

“Jadi saya ambil cuti untuk bawa anak menonton filem animasi itu," katanya.

Seorang lagi penonton, Firdaus Mohd Norazman, 29, berkata dia cukup teruja untuk menyaksikan watak animasi yang menjadi kegemarannya itu.

“Saya sudah terlepas untuk menonton tiket wayang di pawagam berhampiran kediaman saya di Rawang pada Sabtu lalu. Kebetulan hari ini saya cuti bekerja, jadi saya ambil peluang yang ada untuk ke Mid Valley bagi menonton filem ini.

"Saya lihat kutipan filem ini sangat menakjubkan dan pastinya filem ini hebat berikutan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

"Filem ini juga sesuai untuk tontonan semua peringkat umur," katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Syafiqa Mustafa, 25, berkata, filem animasi itu mempunyai jalan cerita yang menarik.

"Saya teruja untuk menontonnya sejak ia ditayangkan dan hari ini saya baru berpeluang ke pawagam berhampiran kerana cuti.

“Semua orang kena tengok kena tengok filem ini kerana ia mendapat sambutan yang luar biasa," katanya.

Selepas empat hari tayangan, filem animasi itu mencatat kutipan RM3.2 juta. Ia akan ditayangkan di Indonesia bermula 13 April ini dan rangka promosi giat dijalankan di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 2:50 AM
Boboiboy The Movie kutip RM3.2 juta selepas empat hari tayangan. FOTO Aizuddin Saad
Boboiboy The Movie kutip RM3.2 juta selepas empat hari tayangan. FOTO Aizuddin Saad