POSTER kartun animasi Boboiboy di GSC Mid Valley. FOTO Yazit Razali
POSTER kartun animasi Boboiboy di GSC Mid Valley. FOTO Yazit Razali
Michelle Gun


Kuala Lumpur: Filem animasi Boboiboy The Movie mencecah sasaran kutipan RM13 juta semalam selepas 17 hari ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Pengarahnya Nizam Razaak berkata, jumlah baru itu kini mengatasi filem animasi popular Frozen dan Minions yang sebelum ini mencatatkan kutipan tinggi di Malaysia.

"Saya tak sangka filem Boboiboy turut berjaya mengatasi filem animasi luar negara Zootopia dan Kung Fu Panda 3 yang kini ditayangkan di pawagam.

"Lebih membanggakan, maklum balas ibu bapa di laman sosial memberitahu ini kali pertama mereka membawa anak-anak ke pawagam untuk menonton filem," katanya.

Dalam pada itu, Nizam mengharapkan Boboiboy: The Movie boleh mencecah kutipan sebanyak RM18 juta dalam tempoh dua minggu lagi.

"Filem ‘superhero’ Batman VS Superman : Dawn of Justice akan ditayangkan minggu ini dan saya berharap penonton terus memberi sokongan kepada Boboiboy: The Movie," katanya.

Sejak ditayangkan pada 3 Mac lalu, filem terbitan Animonsta Studios dan edaran Primeworks Studios itu ditonton lebih 1.2 juta penonton di Malaysia.

Animasi Boboiboy: The Movie juga bakal menemui penonton di Indonesia bermula 13 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 6:55 PM