Rawang: “Kami terkilan kerana gagal menyelamatkan seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) yang terperangkap sebelum mati terbakar,” kata saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Rajan, 30-an.

Dalam kejadian jam 2 petang semalam, mayat mangsa ditemui terperangkap di ruang tamu rumah yang terbakar di Kampung Rajah berhampiran kuil, di sini.

Kebakaran membabitkan lima rumah diperbuat daripada kayu menyebabkan kebakaran cepat merebak.

“Ketika kejadian saya berada berhampiran kuil berkenaan sebelum dikejutkan bunyi letupan dari kawasan rumah berkenaan.

“Saya dan rakan bergegas menuju ke belakang kuil sebelum mendapati deretan rumah kayu marak dijilat api,” katanya.

Menurutnya, beberapa penghuni rumah itu dilihat kelam-kabut membawa keluar barangan berharga di dalam kediaman masing-masing.

“Mereka juga menjerit meminta tolong dan memaklumkan terdapat penghuni OKU terperangkap di dalam rumah, namun usaha menyelamatkan mangsa gagal kerana api marak dengan pantas,” katanya.

Dia mendakwa terkilan kerana gagal memberikan bantuan meskipun ada beberapa penghuni dan orang awam cuba membantu memadam api menggunakan air dibawa di dalam baldi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.11 petang sebelum mengerahkan dua jentera bersama 14 anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, api membakar lebih 80 peratus kediaman berkenaan ketika anggota bomba sampai di lokasi kejadian.

“Api dikawal pada jam 3.10 petang dan mangsa ditemui rentung selepas dipercayai terperangkap di ruang tamu rumahnya,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 5:47 AM