Tiada apa yang mampu diselamatkan berikutan kebakaran dua rumah di Kampung Baru, Gua Musang. FOTO  Ramli Ibrahim
Tiada apa yang mampu diselamatkan berikutan kebakaran dua rumah di Kampung Baru, Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


BERIKUTAN terlelap seketika hingga terlupa menutup api dapur gas, dua rumah hangus terbakar dalam kejadian di Kampung Baru, di Gua Musang semalam.

Kejadian jam 7.40 pagi itu menyebabkan empat keluarga membabitkan 12 orang tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan barang di dalam rumah.

Sebelum itu, seorang daripada penghuni rumah itu, Kartini Ismail, 41, berkata, dia memasak air di atas dapur gas, namun terlupa untuk menutup api selepas ke ruang tamu untuk berehat.

"Saya terlelap di atas kerusi di ruang tamu dan terjaga semula apabila badan merasa panas dan berbahang. Ketika itu baru saya teringat saya ada masak air dan segera ke dapur untuk menutup api dapur gas.

"Malangnya kebakaran sudah berlaku di dapur dan cubaan saya memadam api tidak berjaya. Api merebak sangat cepat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, dia segera memberitahu jiran mengenai kejadian itu dan menyelamatkan diri.

Seorang lagi mangsa, Mohd Azri Che Seman, 41, berkata, dia dikejutkan Kartini mengenai kebakaran itu dan segera keluar rumah untuk menyelamatkan diri.

"Saya kemudian segera membawa keluar kenderaan (kereta dan motosikal) ke tempat selamat dan cuba memasuki rumah semula untuk mengambil barang penting.

"Namun usaha terhalang kerana api marak dengan cepat. Orang ramai datang dan membantu kami daripada terperangkap," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Anuar Abas berkata, tujuh anggotanya  ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 8.19 pagi.

Katanya, bantuan turut diterima daripada Bomba Sukarela Kampung Baru dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

"Kebakaran dapat dikawal dalam masa 10 minit dan api dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh sejam.

"Kita masih menyiasat punca sebenar dan jumlah kerugian dialami mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 3:35 PM