Kluang: Tiga maut apabila dua kereta bertembung dalam kemalangan jalan raya akibat kabus tebal di Kilometer 18, Jalan Kluang-Teck Wah Heng, di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.10 pagi, kereta Proton Wira dipandu Liew Shun Jie, 20, dari arah Simpang Renggam menuju Kluang dikatakan hilang kawalan sebelum bertembung Perodua Viva dipandu Suziyani Samat, 33.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, akibat pertembungan itu, kedua-dua pemandu kenderaan terbabit meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan.

Katanya, turut terbunuh dalam kejadian itu penumpang kereta Proton Wira Goh Xin Girl, 17, pelajar Sekolah Chung Hwa 2, di sini, yang parah di kepala, tangan dan kaki.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Proton Wira dari Simpang Renggam menuju ke Kluang hilang kawalan sebelum termasuk ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama kereta Perodua Viva dipandu wanita yang bekerja sebagai Pembantu Pengurusan Murid PraSekolah Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Datuk Onn Jaafar, Simpang Renggam itu, gagal mengelak lalu merempuh bahagian kiri Proton Wira terbabit menyebabkan ketiga-tiga mangsa tersepit dan maut di tempat kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 7:17 AM