KEADAAN kereta yang terlibat dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
KEADAAN kereta yang terlibat dalam kemalangan. FOTO ihsan Polis
Adnan Ibrahim


TIGA maut dan lima parah pada nahas membabitkan tiga kereta di Kilometer 11.3 Jalan Kluang-Teck Wah Hing, Kluang, 1.32 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mangsa yang meninggal dunia di lokasi ialah Zaharah Suradee, 62, dan Cheng Kin, 83, manakala Low Heng Meng, 61, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

Katanya, lima penumpang dan pemandu tiga kenderaan yang parah juga dirujuk ke hospital sama dan hanya seorang yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan di lokasi mendapati, nahas berlaku selepas kereta dinaiki Cheng Kin yang datang dari arah Kluang menghala ke Simpang Renggam tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, kereta dinaiki Zaharah yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak sebelum bertembung,” katanya pada kenyataan.

Menurut Mohd Abduh, pada masa sama, kereta dinaiki Heng Meng yang berada di belakang kenderaan dinaiki Zaharah tidak sempat mengelak sebelum terbabit dalam perlanggaran sama.

“Bedah siasat dijalankan petang ini di (HEBHK) Kluang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 7:04 PM