Kuala Lumpur: Polis memperoleh maklum balas pihak penganjur Perhimpunan Kebebasan Media hasil perjumpaan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, semalam.

Ketua Polis daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, perjumpaan diadakan jam 10.30 pagi semalam bertujuan mendapatkan maklum balas berhubung jumlah peserta dan pengisian program pada perhimpunan itu.

Menurutnya, polis turut memberi penerangan lanjut kepada wakil media mengenai peruntukan undang-undang Akta Perhimpunan Aman 2012 selain mencapai kata sepakat untuk memudahkan kawal selia perhimpunan diadakan.

“Perhimpunan itu dianjurkan Caolition For Press Freedom yang ditubuhkan secara ad-hoc dan tidak berdaftar manakala jurucakap mereka adalah Mohd Radzi Abdul Razak.

“Tujuan perhimpunan adalah untuk memberi sokongan terhadap media ‘The Edge’. Perhimpunan disertai antara 50 hingga 150 individu itu akan berkumpul di Pasar Seni di sini jam 11 pagi esok (hari ini),” katanya.

Katanya, Mohd Radzi turut menjelaskan mereka menjemput Bekas Pengerusi Majlis Peguam Datuk S Ambiga dan Pengerusi Global Movement of Moderates Datuk Saifuddin Abdullah pada perhimpunan itu.

“Mereka turut akan berhimpun di depan Majlis Peguam dan perhimpunan dijangka selesai jam 1.30 petang.

“Tema baju peserta adalah hitam dan biru gelap manakala marsyal akan mengikat kain merah di lengan,” katanya.

Difahamkan, mereka juga akan menggunakan alat muzik ketika perhimpunan dan mempamerkan beberapa kain rentang seperti yang dilampirkan kepada polis.

Zainol berkata, ketika perhimpunan itu hanya tiga individu yang akan memberi ucapan iaitu Mohd Radzi, Ambiga dan Saifuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:17 AM