Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan empat lelaki ditahan polis di Jalan Tun Perak malam tadi kerana menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan kain rentang #Kitalawan sehingga mendatang kecederaan kepada pegawai DBKL.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihak DBKl sudah meminta mereka yang berhimpun di kawasan terbabit bersurai pada 10 malam tadi dan memberi masa dua jam.

Menurutnya, bagaimanapun selepas 12 tengah malam tadi mereka masih berhimpun menyebabkan kira-kira 10 pegawai dan anggota DBKl bertindak menyita dan menurunkan kain rentang itu.

"Akibatnya seorang pegawai DBKL dihalang dan dipukul peserta perhimpunan sehingga cedera di muka, tangan dan hidung.

"Kejadian ini turut menyebabkan uniform mangsa terkoyak.Sehubungan itu kita menahan enam lelaki berusia 24 hingga 45 tahun," katanya kepada pemberita pada sidang media tadi.

Zainol berkata, kes disiasat mengikut Seskyen 186 Kanun Keseksaan (KK) dan 353 KK.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 12:14 PM