ZAINOL Samah. FOTO file NSTP Ghazali Kori
ZAINOL Samah. FOTO file NSTP Ghazali Kori
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Perjumpaan dan perbincangan kali kedua bersama penganjur perhimpunan haram yang dirancang diadakan 29 dan 30 Ogos ini gagal mencapai kata sepakat apabila penganjur terus berdegil mahu melakukan perhimpunan itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, perjumpaan pihaknya bersama penganjur pada 10.30 pagi tadi untuk menjelaskan kepada penganjur perhimpunan terbabit adalah menyalahi undang-undang kerana tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 376).

Menurutnya, perjumpaan yang dihadiri Pengerusi perhimpunan terbabit, Maria Chin Abdullah itu turut menjelaskan isu keselamatan sekiranya penganjur terus berdegil untuk melakukan perhimpunan terbabit.

"Kita juga sudah memaklumkan kepada penganjur tindakan sewajarnya akan diambil kepada mana-mana individu yang menyertai perhimpunan itu.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang kerana menjadi kesalahan di bawah Seksyen 20 (1) (c) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 2:05 PM