Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis sudah menerima notis perhimpunan daripada penganjur Himpunan Rakyat Bersatu yang akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 16 September ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, notis itu diserahkan oleh Setiausaha Agong Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia,Datuk Megat Zulkarnain Omardin dalam satu perjumpaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, 11 pagi tadi.

Menurutnya, dalam perjumpaan itu, penganjur memberitahu mereka masih menunggu kebenaran tuan punya tempat iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum perhimpunan diadakan.

“Polis juga masih menunggu kelulusan dari tuan punya tempat iaitu DBKL seperti mana diperuntukkan dibawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk tindakan selanjutnya.

"Dalam perjumpaan berkenaan, penganjur juga berjanji perhimpunan itu akan diadakan secara aman dan mereka akan meletakkan pasukan untuk mengawal keselamatan peserta yang hadir," katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2015 @ 8:06 PM