Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Polis tidak membenarkan wakil penganjur 'Kita Lawan' untuk mengadakan perhimpunan di hadapan kompleks beli belah Sogo di sini, esok.

Ketua Polis Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, pihaknya sudah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad, 11 pagi tadi.

"Tujuan perjumpaan itu, pihak kami memaklumkan mereka tidak dibenarkan mengadakan perhimpunan di hadapan Sogo esok serta hari kemuncaknya yang dijadualkan berlangsung pada 7 Mac ini.

"Pihak Sogo juga tidak memberi kebenaran mengadakan perhimpunan di sekitar premis mereka selain laporan polis juga sudah dibuat berhubung perkara itu,"katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan beberapa kawasan lain sekiranya perhimpunan itu tetap mahu diadakan selain bersedia membantu memantau keselamatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 5:19 PM