Kuala Lumpur: Seramai 925 pesalah trafik ‘tegar’ sudah diheret ke mahkamah sejak operasi Ops Warta diadakan sejak 19 Mei lalu.

Ketua Trafik Pasukan PDRM Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata, baki 1,766 pesalah trafik yang ditahan polis pula sudah diberi jaminan polis, namun tindakan membawa mereka ke mahkamah tetap akan dilakukan.

“Sehingga semalam (kelmarin), 58,177 saman berstatus waran tangkap dan 550,487 saman berjaya dijelaskan.

“Bagaimanapun jumlah saman waran tangkap diselesaikan hanyalah empat peratus berbanding 1.59 juta jumlah keseluruhan waran tangkap dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, hasil penguatkuasaan Ops Warta dimulakan sejak 14 hari lalu, seramai 13,191 pesalah trafik sudah menyerah diri di balai polis berhampiran dan turut dikenakan denda RM300 bagi setiap waran tangkap dimiliki individu terbabit.

Jelasnya, orang ramai yang masih mempunyai waran tangkap dinasihati tampil di balai polis berhampiran bagi mengelakkan diri mereka dihadapkan ke mahkamah selepas tangkapan dibuat.

“Penguatkuasaan akan diperhebatkan dengan kerjasama daripada anggota tugas am di pejabat dan tempat kerja pesalah trafik serta mengadakan sekatan jalan raya dengan lebih kerap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 6:32 AM