ANGGOTA polis  melakukan pemeriksaan  di Jalan Tanjung Lumpur, semalam.
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di Jalan Tanjung Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: Kelam-kabut mahu bayar saman apabila terdesak. Itu kata-kata diluahkan Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff terhadap sikap pengguna jalan raya di negara ini.

Menurutnya, pesalah lalu lintas bagaikan [dipaksa’ untuk menjelaskan saman tertunggak dan waran tangkap mereka apabila operasi Ops Warta dimulakan pihak polis.

“Tindakan membayar saman tertunggak dan waran tangkap itu sepatutnya dilakukan secara sukarela atau berterusan tanpa perlu dipaksa.

“Anda sendiri melakukan kesalahan trafik dan sepatutnya anda sendiri tampil untuk menjelaskannya tanpa unsur paksaan. Ini adalah tanggungjawab anda sendiri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam

Menurutnya, sekatan jalan raya membabitkan pemeriksaan terhadap rekod saman kenderaan dan pemandunya disifatkan berkesan untuk menjejaki pesalah trafik di seluruh negara.

“Sekatan jalan raya dilakukan sepanjang masa membabitkan lokasi strategik termasuk hadapan balai polis. Selain itu usaha menjejaki pesalah trafik berdasarkan alamat rumah dan tempat kerja turut membuahkan hasil.

“Tindakan memburu hingga ke rumah dan pejabat menimbulkan rasa takut pengguna jalan raya yang segera menyerah diri di balai polis trafik,’ katanya.

Beliau berkata, statistik menunjukkan 2,547 pesalah tampil menyerah diri di seluruh negara pada hari ketiga operasi Ops Warta dilakukan berbanding 151 individu pada hari pertama operasi dimulakan.

Menurutnya, statistik itu membuktikan usaha dilakukan polis berkesan dalam memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Saya melihat angka itu sebagai perkembangan positif. Ia jelas menunjukkan operasi hari pertama menangkap pesalah trafik memberi kesan kepada pesalah untuk menyerah diri,” katanya.

Berdasarkan statistik, seramai 640 individu ditahan sehingga semalam dan seramai 200 pesalah trafik sudah dituduh di mahkamah manakala 440 lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 8:51 AM