ANGGOTA  polis mengangkat  mayat mangsa.
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa.
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang buruh lelaki maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan empat kereta di Jalan Alai, di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa Muhammad Irfan Azman, 23, memandu kereta Proton Saga BLM dari arah Kandang menghala ke Telok Mas dan apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan dinaikinya terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Sumber berkata, pada masa sama, wanita berusia 32 tahun yang memandu kereta Proton Saga BLM dari Telok Emas cuba mengelak ke kiri, tetapi berlaku perlanggaran sisi kereta mangsa.

“Selepas perlanggaran itu, kereta mangsa bertembung dengan kereta Wira Aeroback dipandu lelaki berusia 45 tahun menyebabkan mangsa terhantuk pada stereng keretanya dan parah lalu meninggal dunia.

“Akibat pertembungan itu, sebuah lagi kereta dipandu wanita berusia 29 tahun berada di belakang kereta Proton Wira Aeroback itu tidak sempat mengelak menyebabkannya terlanggar lampu dan bampar kanan kereta itu,” kata sumber di sini, semalam.

Difahamkan, pemandu kereta Proton Wira Aeroback itu cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

Rakan mangsa, Muhammad Taufik Nordin, 24, yang kebetulan tiba di lokasi kejadian 20 minit selepas itu berkata, dia tidak menyangka pertemuan secara kebetulan di stesen minyak petang kelmarin, menjadi detik terakhirnya menatap wajah rakannya itu.

“Kami tinggal di satu taman perumahan, tapi jarang berjumpa sejak dia (mangsa) tinggal di rumah mentuanya di Kandang.

“Saya menyapanya ketika bertemunya di stesen minyak di Umbai semalam (kelmarin), saya melihat mukanya pucat dan tidak banyak bercakap,” katanya Muhammad Taufik.

Difahamkan, mangsa meninggalkan seorang isteri dan tiga anak yang masih kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 6:23 AM