KEADAAN kereta curi yang dipandu suspek terbabas di simpang tiga Jalan Pokok Mangga-Jalan Limbongan, kelmarin.
KEADAAN kereta curi yang dipandu suspek terbabas di simpang tiga Jalan Pokok Mangga-Jalan Limbongan, kelmarin.
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seorang lelaki memandu kereta dengan satu tayar hadapan yang pecah ketika dikejar polis sejauh hampir 10 kilometer sebelum ditahan dan didapati memandu kereta curi di Limbongan, di sini, kelmarin.

Difahamkan, tindakan suspek berusia 26 tahun membuat pusingan U sebaik melihat polis melakukan pemeriksaan dalam Operasi Lalu Lintas di Jalan Datuk Seri Haji Mohd Zin, Batu Berendam, jam 11 pagi itu menimbulkan rasa curiga tujuh anggota polis trafik yang bertugas sebelum bertindak mengejar suspek.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adziz Shaikh Abdullah berkata, ketika cuba melarikan diri, suspek yang menaiki Proton Saga BLM dikatakan memandu dalam keadaan berbahaya dan melanggar beberapa kereta serta motosikal di Jalan Pokok Mangga hingga menyebabkan tayar kereta dipandu pecah.

“Kereta dipandu suspek akhirnya terbabas di simpang tiga Jalan Pokok Mangga-Jalan Limbongan dan suspek ditahan di situ,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu suspek adalah kereta curi yang sebelum ini dilaporkan hilang di Balai Polis Batang Tiga, di sini, bulan lalu.

Katanya, suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek beralamat di Kelantan mempunyai empat rekod lampau membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam serta tiga kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Shaikh Abdul Adzis berkata, suspek juga dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 5:19 AM