ANGGOTA polis memeriksa kereta Chevrolet yang rentung selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 209.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman
ANGGOTA polis memeriksa kereta Chevrolet yang rentung selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 209.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, hari ini. FOTO Khairunisah Lokman
Mohd Hilmie Hussin


SEORANG wanita rentung, manakala lima cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 209.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi, sebuah kereta Chevrolet dan lori tanpa muatan hangus terbakar, manakala tiga lagi kenderaan masing-masing Toyota Harrier, Honda CRZ dan Proton Saga BLM hanya mengalami kerosakan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, mangsa yang rentung dikenali sebagai Chen Mei Mei, 35, yang duduk di bahagian kanan belakang kereta Chevrolet berkenaan.

Menurutnya, pemandu dan penumpang hadapan kereta itu Chua Yong Teck, 41, Chua Sing Hong, 86, dan anak mangsa, Chua Thi Tong, 4, berjaya menyelamatkan diri.

“Mangsa dipercayai tersepit selepas kereta itu terbakar. Bagaimanapun, pemandu lori berusia 56 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu Proton Saga BLM yang juga penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Ismail Abd Azi, 35, cedera parah, manakala penumpang yang juga pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nurhanim Saadah Abdullah, 34, cedera ringan,” katanya.

Mohd Sham berkata, siasatan awal mendapati semua kenderaan berkenaan bergerak dari Johor ke Kuala Lumpur.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori itu yang berada di lorong paling kiri secara tiba-tiba menukar laluan sebelum merempuh Proton Saga BLM berkenaan.

“Akibat rempuhan kuat itu, kedua-dua kenderaan terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan, sebelum lori berkenaan merempuh belakang kereta Chevrolet yang dinaiki mangsa.

“Sejurus selepas perlanggaran itu, berlaku perlanggaran membabitkan Toyota Harrier dan Honda CRZ pula,” katanya.

Katanya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan, manakala mayat Mei Mei dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, sebuah jentera bersama 17 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 11.29 pagi.

“Sebaik tiba anggota bomba mendapati api marak membakar kereta Chevrolet dan kepala lori seberat satu tan itu.

“Malah, kemalangan turut membabitkan tiga lagi kereta. Anggota kita terpaksa menggunakan alat pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang rentung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 9:02 PM