Oleh Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Tiga maut dengan dua daripadanya rentung dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Kilometer 192.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Ayer Keroh, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, mayat seorang lelaki ditemui tercampak keluar ke tengah pembahagi jalan manakala dua mangsa yang belum diketahui jantina dan identiti rentung di dalam kereta.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah Proton Saga BLM hilang kawalan dan berpusing sehingga seorang penumpangnya tercampak keluar sebelum kereta itu terbabas ke kiri jalan.

Menurut sumber, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Audi yang dinaiki seorang lelaki dan dua wanita warga asing tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta mangsa dan terseret sehingga 200 meter sekali gus mencetuskan kebakaran.

“Pemandu dan penumpang Audi sempat menyelamatkan diri apabila kebakaran berlaku.

“Ketika itu, sebuah Perodua Myvi cuba mengelak menyebabkan kereta dinaiki dua lelaki dan seorang wanita itu terbabas dan terbalik dengan empat tayar di atas,” katanya di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 9:03 AM