Keadaan Proton Saga BLM dan Perodua Myvi yang terbabit kemalangan. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Keadaan Proton Saga BLM dan Perodua Myvi yang terbabit kemalangan. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Gara-gara panik melihat sekatan jalan raya, seorang lelaki membuat pusingan U sebelum Proton Saga BLM dipandu terbabit kemalangan di Jalan Tun Teja, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, polis membuat sekatan jalan raya di Jalan Malim Jaya sebelum suspek berusia 29 tahun bertindak melulu melakukan pusingan U menyebabkan keretanya terbabas dan merempuh Perodua Myvi yang datang dari arah Cheng.

Sebuah Toyota Hilux juga tidak sempat mengelak dan terlanggar belakang Perodua Myvi itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, siasatan awal mendapati lelaki yang juga penganggur itu tidak mempunyai lesen memandu.

"Suspek cedera ringan namun pemandu Perodua Myvi terpaksa dikejarkan ke Hospital Melaka kerana cedera di kedua-dua kaki manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan awal polis mendapati pemandu Proton Saga itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit ditahan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 4:18 PM