DEENA menunjukkan gambar kemusnahan Pantai Patong akibat tsunami pada 26 Disember 2004, di Phuket Thailand.
DEENA menunjukkan gambar kemusnahan Pantai Patong akibat tsunami pada 26 Disember 2004, di Phuket Thailand.
Oleh Muhd Izawan Baharin

Phuket (Thailand): “Saya jarang melihat gambar ini kerana ia mengingatkan saya terhadap tragedi itu,” kata ejen sebuah agensi pelancongan di Pantai Patong, Phuket, Wandee Ramwong atau Deena yang menyimpan kira-kira 30 keping gambar bencana tsunami yang melanda destinasi pelancongan itu, 10 tahun lalu.

Deena, 33, berkata, dia memperoleh koleksi itu daripada seorang rakannya yang bekerja di sebuah kedai gambar berhampiran.

“Dia minta saya simpan gambar ini. Sudah bertahun saya tidak menatap gambar ini kerana ia membuatkan saya sedih dan takut pada masa sama,” katanya yang ditemui di pejabatnya di Pantai Patong, baru-baru ini.

Antara gambar yang disimpan Deena ialah keadaan semasa ombak besar melanda Pantai Patong, mangsa yang terpaksa memanjat pokok untuk menyelamatkan diri, kemusnahan di Pulau Phi Phi dan kawasan pantai Khao Lak.

Deena berkata, pada 25 Disember 2004 iaitu sehari sebelum bencana itu, orang ramai terutama pelancong asing meraikan sambutan Krismas menyebabkan kawasan pantai dipenuhi pengunjung sehingga lewat malam.

Menurutnya, tsunami melanda kira-kira jam 9 pagi, ketika orang ramai masih lagi bersantai di kawasan pantai.

“Ketika kejadian, saya baru sampai ke pejabat dan tiba-tiba melihat orang ramai berlari sambil menjerit meminta tolong.

“Sebaik melihat ombak besar meluru laju, saya segera menaiki motosikal dan memecut ke arah kawasan bukit berdekatan,” katanya.

Deena berkata, dia tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi semasa kejadian itu, tetapi kemusnahan akibat bencana itu amat menakutkan.

“Hotel dan bangunan kedai berhampiran pantai mengalami kemusnahan teruk dan ramai yang kehilangan nyawa. Pantai Patong yang menjadi salah satu tarikan menarik di Phuket sunyi sepi,” katanya.

Dia berkata, walaupun keadaan sudah berubah selepas 10 tahun namun tragedi itu tidak mudah dilupakan.

“Saya akan terus menyimpan gambar ini kerana ia adalah satu sejarah yang tidak boleh dilupakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 9:29 AM