Oleh Elrafaei Sapi

Kuala Lumpur

Tidak semua kanak-kanak yang dilahirkan di negara ini diberi kerakyatan secara automatik manakala ujian DNA boleh dijadikan dokumen sokongan permohonan warganegara Malaysia jika wujud keraguan.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menjawab pertanyaan lisan Loke Siew Fook (DAP-Seremban) di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Menurutnya, dokumen sokongan berkenaan bukan suatu dokumen mandatori diperlukan Kerajaan Persekutuan dalam mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan.

"Asas penentuan kewarganegaraan kanak-kanak berkenaan mengikut peruntukan undang-undang termaktub dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan secara umum merujuk bergantung kepada status perkahwinan dan taraf warganegara ibu bapa," katanya.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan menetapkan kanak-kanak dilahirkan di Persekutuan, tetapi perkahwinan ibu bapa tidak didaftarkan di bawah undang-undang semasa yang berkuat kuasa dan ibunya bukan warganegara Malaysia diiktiraf sebagai bukan seorang warganegara.

"Ini mengikut undang-undang di bawah Seksyen 17 Jadual Kedua Bahagian III dan kanak-kanak dilahirkan tanpa perkahwinan sah mengikut taraf warganegara adalah mengikut kewarganegaraan ibunya.

"Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada seseorang individu suatu anugerah tertinggi Kerajaan Malaysia," katanya.

Menurutnya, taraf warganegara tidak diberikan atau ditawarkan sewenangnya kepada sesiapa yang memohon manakala kerajaan membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan dokumen dikemukakan pemohon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:16 AM