FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Keputusan dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam setelah meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman dalam satu kenyataan bersama semalam.

Mengulas hal itu, menteri terbabit berkata, keputusan dibuat sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki serta menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di negara ini.

Kerajaan juga komited mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan yang timbul selain mahu menyelesaikan lambakan kes tertunggak bagi wanita yang terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka, melalui pendaftaran yang mengambil masa terlalu lama dan tidak munasabah.

Keputusan itu sekali gus memberikan tafsiran yang jelas dan mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah.

"Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dan Kementerian Dalam Negara (KDN) mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Kabinet, kerana merealisasikan komitmen negara terhadap kesaksamaan jantina dan memenuhi hak terhadap kanak-kanak.

"Cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini adalah untuk menggantikan perkataan 'bapanya' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan 'sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya' bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan.

"Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 seterusnya dijangka dibentangkan dalam persidangan Parlimen ini, setelah memenuhi kehendak undang-undang.

"Kesan daripada keputusan hari ini (semalam) adalah anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia, berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan," katanya menteri berkenaan.

Pada masa sama, Saifuddin dan Azalina berkata, pindaan yang lain berkaitan kewarganegaraan terutamanya Bahagian III akan dikaji dengan lebih terperinci oleh jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah KDN.

Menurutnya, perkara itu akan dibentangkan Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan berkenaan dimuktamadkan dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 10:34 AM